Jom Kenali 5 Jenis Jerawat Di Muka Dan Cara Merawatnya Dengan Berkesan

Jom Kenali 5 Jenis Jerawat Di Muka Dan Cara Merawatnya Dengan Berkesan

Masalah jerawat di muka atau pun badan ni memang menjengkelkan. Lebih-lebih lagi ia tumbuh bila anda nak hadiri majlis atau acara penting. Sudahlah besar dan kemerah-merahan, sakit pula tu. Akibatnya, ramai yang rasa rendah diri untuk berhadapan dengan orang ramai dan tak yakin dengan penampilan sendiri. Nak rawat masalah jerawat pun kena tahu punca dan jenis jerawat tu dulu. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis jerawat di muka dan setiap satunya mungkin memerlukan rawatan yang berbeza. Itu pun bergantung kepada keadaan jerawat tu juga, sama ada biasa ataupun kronik. Anda boleh dapatkan rawatan yang paling sesuai dan berkesan sekiranya anda tahu dan faham akan masalah jerawat yang anda alami. Oleh itu, apa kata anda kenali dulu jenis jerawat di muka ni supaya anda boleh dapatkan rawatan yang terbaik untuk kulit anda.

Kenali 5 Jenis Jerawat Di Muka Dan Rawatan Yang Sesuai Untuk Mengatasinya 

Jom kenali lima jenis jerawat di muka yang sering menghantui hidup anda, punca jerawat-jerawat ini dan apakah rawatan yang sesuai untuk menghapuskannya supaya anda tampil lebih yakin.

1. Bintik Hitam (Blackhead)

Bintik hitam atau blackhead adalah sejenis jerawat di muka (acne vulgaris) yang dialami oleh hampir semua orang
Kredit: @ksskinbodyaesthetics dari Instagram

Bintik hitam atau blackhead adalah sejenis jerawat di muka (acne vulgaris) yang dialami oleh hampir semua orang. Ia merupakan bintik atau benjolan terbuka (open comedones) pada kulit yang tersumbat akibat minyak berlebihan dan sel kulit mati. Blackhead ni bertukar menjadi warna hitam kerana melanin kulit teroksidasi dengan udara. Mudah sahaja nak hapuskan blackhead ni. Anda boleh gunakan produk yang mengandungi asid salisik, asid azelaic, benzoyl peroksida atau retinoid (derivatif vitamin A). Ini kerana bahan-bahan ini membersihkan liang pori tersumbat, membunuh bakteria, menghapuskan sel kulit mati dan seterusnya mengurangkan keradangan akibat jerawat. Anda tak perlukan preskripsi untuk dapatkan produk-produk ini. Beli sahaja di farmasi-farmasi utama.

2. Bintik Putih (Whitehead)

Bintik putih atau whitehead juga merupakan sejenis jerawat di muka yang sukar untuk anda elak.
Kredit: @skin.by.shell dari Instagram

Bintik putih atau whitehead juga merupakan sejenis jerawat di muka yang sukar untuk anda elak. Ia kelihatan seperti benjolan kecil berwarna keputihan atau kekuningan pada kulit anda. Whitehead ni sebenarnya terbentuk apabila minyak dan sel kulit mati menutupi folikel atau kelenjar sebum yang akhirnya menjadi benjolan tertutup (closed comedones). Rawatan untuk hapuskan whitehead ni sama sahaja macam blackhead. Pastikan produk penjagaan kulit anda mengandungi bahan-bahan aktif seperti asid salisik, asid azelaic, benzoyl peroksida atau retinoid. Anda juga boleh dapatkan rawatan daripada pakar dermatologi sekiranya anda perlukan antibiotik ataupun retinoid yang berkonsentrasi tinggi.

3. Jerawat Batu (Nodules)

Jerawat batu ni merupakan antara jenis jerawat di muka yang paling sakit dan kronik.
Kredit: @polkadotted_babel dari Instagram

Bersyukurlah sekiranya anda tak pernah mengalami masalah jerawat batu atau jerawat nodul. Jerawat batu ni merupakan antara jenis jerawat di muka yang paling sakit dan kronik. Ia berbentuk benjolan yang keras di lapisan kulit muka paling bawah dan meradang. Jerawat batu muncul apabila liang pori tersumbat dan seterusnya memerangkap sel kulit mati, minyak dan bakteria. Sekiranya tidak dirawat, jerawat ini akan bertambah buruk dan akan menyebabkan parut berwarna hitam. Anda perlukan rawatan daripada pakar dermatologi sekiranya mengalami masalah jerawat batu kerana kebanyakan ubat jerawat yang ada di pasaran tak berkesan ke atas jerawat degil ni. Pakar dermatologi mungkin mengesyorkan rawatan seperti ubat oral, rawatan topikal (preskripsi) atau suntikan kortison. Yang penting, jangan sekali-kali memicit jerawat batu ni kalau tak nak parut dan jangkitan!

4. Jerawat Cyst

Jerawat cyst ialah sejenis jerawat di muka yang lebih sakit
Kredit: @cottyconcha dari Instagram

Jerawat cyst dan jerawat batu (nodul) ni nampak sama tapi tak serupa. Ia ialah sejenis jerawat di muka yang lebih sakit dan tumbuh jauh lebih dalam di bawah permukaan kulit muka berbanding jerawat nodul. Ia kelihatan seperti benjolan merah atau putih yang besar dan selalunya menyakitkan apabila disentuh. Saiznya juga kadangkala besar akibat pori yang tersumbat serta jangkitan bakteria. Ubat preskripsi Isotretinoin biasanya digunakan untuk merawat jerawat ini dan sekiranya lebih serius, pakar dermatologi mungkin akan melakukan pembedahan kecil untuk membuang jerawat tersebut. 

5. Jerawat Pustula (Papules)

Jerawat pustula atau jerawat bernanah berbentuk kecil, merah dan meradang
Kredit: @Makkeysvirgin_cosmetics dari Instagram

Jerawat pustula ini kebiasaannya menyerang remaja atau mereka yang sedang mengalami perubahan hormon. Tetapi ada juga orang dewasa yang berusia 20-an dan 30-an yang masih mengalami masalah jerawat ini. Jerawat pustula atau jerawat bernanah ialah sejenis jerawat di muka yang berbentuk kecil, merah dan meradang. Ia selalunya terbentuk akibat minyak kulit yang berlebihan, jangkitan bakteria, hormon  atau kesan sampingan daripada sesetengah jenis ubat. Jerawat pustula yang tidak kronik boleh dirawat menggunakan produk penjagaan kulit yang mengandungi asid salisik, asid azelaic, benzoyl peroksida atau retinoid sahaja. Tetapi, anda perlukan ubat preskripsi dari ahli dertamatologi sekiranya jerawat anda sukar untuk sembuh.

Jerawat Di Muka Boleh Sembuh Dengan Rawatan Yang Betul

cara hilangkan jerawat dan parut
Kredit: Greta Hoffman, Angela Roma, dan John Tekeridis dari Pexels

Masalah kulit seperti jerawat boleh dirawat dengan baik sekiranya anda tahu jenis jerawat di muka anda. Jerawat biasa boleh dirawat dengan rutin penjagaan kulit yang sesuai dengan kondisi kulit anda. Selain itu, regimen penjagaan kulit yang baik juga membantu untuk mendapatkan dan mengekalkan kulit yang sihat. Anda boleh gunakan pencuci muka anti jerawat, krim serta serum yang diformulasikan khas untuk kulit bermasalah. Bila jerawat dah betul-betul hilang, barulah anda boleh fokus untuk pudarkan parutnya pula. Sekiranya anda mengalami masalah jerawat kronik, adalah lebih baik sekiranya anda mendapatkan khidmat rawatan pakar dermatologi yang ternyata lebih arif akan masalah ini. Mereka juga boleh mengesyorkan rawatan wajah serta produk-produk tertentu untuk membantu membaik pulih kulit anda. Mungkin kosnya agak mahal, tapi percayalah hasilnya berbaloi. 

Anda nak dapatkan lebih banyak produk anti-jerawat? Layari Shopee Beauty Carou-Sale untuk tawaran eksklusif berkenaan produk kecantikan dan penjagaan kulit terkini!

Leave a Reply