8 Jenis Baju Tradisional Melayu Untuk Digayakan Pada Hari Raya

pakaian tradisi melayu

Tak lama lagi Hari Raya Aidilfitri bakal tiba, dan ada tahu tak apa maksudnya? Dah tiba masanya untuk mencari baju tradisional yang serba baharu! Lagi pula, anda mesti nak kelihatan sempurna sempena perayaan ini. Tak pasti nak pakai baju raya apa? Jangan bimbang, sebab kami dah sediakan panduan tentang pelbagai jenis Baju Tradisional Melayu untuk membantu anda mencari busana Hari Raya yang terbaik.

Jenis-Jenis Baju Tradisional Melayu Untuk Wanita

Berikut merupakan pakaian wanita Melayu tradisional yang mungkin menepati citarasa anda.

1.   Baju Kurung Kedah

baju kurung kedah moden
Kredit: Owl By Nora Danish, sitikhadijahofficial, dan GENE MARTINO OFFICIAL STORE di Shopee

Ada beberapa jenis Baju Kurung Kedah seperti Baju Kurung Kedah Moden, Baju Kurung Kedah Songket, Baju Kurung Kedah Tradisional, malah ada juga yang menggayakan Baju Kurung Kedah dengan seluar. Baju Kurung Kedah mempunyai potongan baju yang pendek di bahagian pinggul dan lengannya pula tiga suku.

Baju Tradisional Melayu ini juga berbentuk petak dan lebar bagi memudahkan pergerakan si pemakainya. Oleh itu, anda boleh melakukan tugas harian tanpa sebarang batasan! Gayakan Baju Kurung Kedah dengan batik sarong atau skirt labuh separas buku lali. Anda juga boleh gayakannya dengan kain pelikat yang diikat kemas di bahagian hadapan, kenakan corak yang menonjol untuk penampilan yang lebih memukau.

2.   Baju Kurung Pesak

baju tradisional perempuan
Kredit: nrsaidaaqilah di Shopee

Anda perlukan pakaian tradisional Melayu yang selesa? Apa kata anda cuba Baju Kurung Pesak. Jika dibandingkan dengan Baju Kurung biasa, bajunya adalah lebih labuh sehingga di bawah lutut. Selain itu, terdapat dua jenis gaya untuk anda pilih; Baju Kurung Pesak Buluh dan Baju Kurung Pesak Gantung

Baju Kurung Pesak Buluh mempunyai reka bentuk yang lebih berstruktur dengan dua pesak di sisi dan potongannya lurus. Kalau anda tak tahu apa itu pesak, maksud pesak ialah secebis kain tambahan yang dijahit di sekeliling dan atau di bahagian bawah ketiak baju untuk memberikan lebih fleksibiliti kepada si pemakai.

Di samping itu, kain sarong padanannya mempunyai lipatan tiga sisi. Lipatan ini memberikan keselesaan kepada sesiapa yang memakainya. Lagipun, ia memberikan ruang tambahan untuk sorokkan perut anda yang seronok menikmati biskut raya sedap.

3.   Baju Kurung Pahang

baju riau pahang
Kredit: Rejinah Fashion RS di Shopee

Design Baju Kurung Pahang juga apa kurangnya. Ada Baju Kurung Pahang Moden, Baju Kurung Pahang Songket, dan Baju Kurung Pahang Tradisional. Baju Kurung Pahang merupakan Baju Tradisional Melayu yang selalunya dikenakan pada majlis-majlis yang lebih formal. Ia berasal daripada hubungan dua hala antara Negeri Pahang dan Riau. Baju ini pada asalnya dikenali sebagai Baju Kurung Riau-Pahang. 

Sama seperti Baju Kurung Pesak, rekaan baju ini terdiri daripada baju labuh yang melebar ke hujung. Padankan bajunya dengan kain yang sesuai untuk penampilan yang sempurna. Ini akan menyerlahkan potongan badan anda serta mengimbangi keseluruhan gaya tersebut.

4.   Baju Kurung Johor

baju kurung johor
Kredit: byhafi di Shopee

Baju kurung Johor diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar ketika baginda bersemayam di Teluk Belanga, maka ia juga dikenali sebagai baju kurung Teluk Belanga. Longgar dan selesa, baju ini dipadankan dengan kain sarung ikatan Ombak Mengalun (atau ikatan berombak). Ia juga digayakan bersama cucuk sanggul sebagai aksesori utama.

Baju kurung ini popular di kalangan masyarakat Johor yang sering memakainya pada hari perayaan dan apabila menghadiri majlis-majlis tertentu.

5.   Baju Kurung Moden

design baju kurung moden
Kredit: Owl By Nora Danish di Shopee

Baju Kurung yang asalnya ringkas ini semakin berevolusi dari tahun ke tahun, khususnya dalam dunia fesyen Muslimah dengan rekaan dan potongan yang lebih baharu. Kini, kebanyakan Baju Kurung Moden direka mengikut bentuk tubuh badan. Bahagian blaus selalunya menonjolkan potongan pinggang dan tidak mempunyai pesak. Sebaliknya, ia digantikan dengan zip dan dat. 

Sementara itu, kain Baju Kurung Moden ini membalut bahagian pinggul dan bahagian kaki pula berbentuk duyung atau skirt A-line yang panjang. Kainnya boleh dipakai dengan cara mengikat pareo (balut di sekitar pinggul) atau dengan gaya berlipat. Jadi, sekiranya anda mencari-cari Baju Tradisional Melayu yang menampilkan gaya terkini anda, maka baju ini adalah rekaan yang sesuai untuk anda.

6.   Baju Kebaya

baju kebaya tradisional
Kredit: Zalora Malaysia Official Store dan Altelia Amani & FAR8 Official Store di Shopee

Baju Kebaya juga berevolusi dengan lahirnya pelbagai jenis Kebaya. Jika dahulu cuma ada Baju Kebaya Tradisional, Baju Kebaya Pendek, dan Baju Kebaya Labuh. Tapi kini dah ada pelbagai design Baju Kebaya Moden yang cantik dan kontemporari. 

Baju Kebaya mempunyai baju (blaus) yang sedikit jarang yang selalunya digayakan bersama-sama dengan inner atau shapewear. Kaum wanita juga menggunakan kerongsang untuk melengkapkan gaya, memastikan lipatannya terletak molek. Kebaya selalunya dipadankan dengan skirt A-line atau skirt duyung; anda juga boleh menggayakannya dengan batik sarong yang diikat di sekeliling pinggul.

Baju Kebaya juga terkenal dengan hiasan renda yang kompleks dan sulaman bercorak bunga. Sebab itu, Baju Tradisional Melayu ini melambangkan segala-galanya yang elegan dan feminin. Sama seperti kebanyakan jenis Baju Kurung Moden, Baju Kebaya menyerlahkan potongan pinggang untuk menonjolkan figura anda secara tidak keterlaluan dan bergaya.

Jenis-jenis Baju Tradisional Melayu Untuk Lelaki

baju melayu lelaki
Kredit: Amar Amran dan Nur Gallery di Shopee

Kaum lelaki pun mestilah tampil bergaya di Hari Lebaran. Jom kita tengok Baju Tradisional Melayu untuk lelaki dan ketahui perbezaannya.

7.   Baju Melayu Cekak Musang

Baju Melayu Cekak Musang merupakan salah satu rekaaan Baju Melayu Tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas bila kita berbicara tentang Baju Tradisional Melayu untuk lelaki. Anda memerlukan tiga elemen utama untuk melengkapkan gaya baju raya ini: baju lengan panjang yang disesuaikan dengan potongan badan anda, seluar yang sepadan, dan kain samping. Bahagian atas baju dihiasi dengan lima butang sejajar dan kolar bulat, dipakaikan kemas di bawah kain samping di bahagian pinggang.

8.   Baju Melayu Teluk Belanga

Sementara itu, Baju Melayu Teluk Belanga pula merupakan Baju Melayu Tradisional separa formal kerana tulang belut (kolar leher bulat) dan belahan halus di tengah-tengahnya yang dikemaskan dengan satu butang. Satu lagi perbezaannya ialah, bajunya dipakai di atas kain samping, bukan di bawahnya. Akhir sekali, gayakan baju raya ini dengan songkok untuk melengkapkan gaya Muslimin tradisional anda.

Tampil Meriah Dan Bergaya Dengan Baju-Baju Tradisional Melayu Ini Pada Hari Raya

pakaian tradisi melayu
Kredit: Rejinah Fashion RS dan Amar Amran di Shopee

Sekarang anda pun dah lebih jelas tentang jenis-jenis Baju Tradisional Melayu yang berbeza, dan tibalah masanya untuk anda mencari busana yang menepati personaliti dan citarasa yang terbaik. Bagi kaum wanita, penampilan anda belum lagi lengkap dengan cuma baju raya dan tudung. Luangkan sedikit masa untuk bersolek bagi melengkapkan keseluruhan gaya anda. 

Jangan takut untuk tampil lebih glamor dengan gaya solekan mata yang berani. Anda juga boleh cuba penggaris mata (eyeliner) grafik dan pembayang mata (eyeshadow) metalik supaya anda kelihatan lebih menonjol. Jika tidak, anda boleh memilih solekan yang lebih selamat dengan mengenakan smokey eye klasik kerana daya tarikannya yang sofistikated. Untuk yang sudah berkeluarga, anda boleh dapatkan Baju Kurung dan Baju Melayu budak jika ingin berpakaian sedondon. 

Artikel asal 7 Types Of Traditional Malay Clothing To Wear On Hari Raya ditulis oleh Mae-Z Fam dan diterjemah oleh Rebecca Hani Romeli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *