Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 mesti dinanti-nantikan oleh semua umat Islam di Malaysia. Setelah dua tahun beraya di dalam suasana pandemik dan SOP yang ketat, nampaknya kali ini orang ramai boleh menyambut Hari Raya dengan penuh ceria, lebih-lebih lagi sekarang ni sudah tiada sekatan perjalanan dan kita pun telah beralih ke Fasa Endemik.
Bagi penyanyi nombor satu Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin, Hari Raya 2022 kali ini mungkin lain dari yang lain. Beliau yang baru-baru ini tersenarai dalam senarai Top 100 Most Awarded Musician of All Time menduduki tempat ke-27 dengan jumlah 329 anugerah diterima sepanjang berada di dalam industri seni. Kalau anda nak tahu, Dato’ Siti juga dilantik sebagai duta rasmi Shopee Malaysia untuk kempen Ramadan dan Raya 2022.
Oleh itu, kami di Shopee Malaysia secara ekslusif membawa anda mengintai persiapan raya Dato’ Siti serta tradisi lebaran di rumah selebriti hebat tanah air ini.
Persiapan Hari Raya 2022 Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Peminat Dato’ Siti mesti teruja nak tahu macam mana penyanyi tersohor negara ni buat persiapan Raya kan? Jom kita tanya Dato’ Siti sendiri.
Bagaimana Persiapan Raya Dato’ Siti Tahun Ini?
Saya yakin Hari Raya tahun ini dinantikan oleh semua orang setelah dua tahun kita dalam fasa pandemik, kali ini dapat menziarah serta pulang menemui keluarga tercinta. Saya sendiri tidak sabar untuk meraikannya, apatah lagi dengan hadirnya Aafiyah dan Afwa. Saya berharap raya tahun ini dapat berkumpul dengan keluarga dekat dan jauh serta menziarah ke rumah saudara mara dan sahabat handai.
Apakah Tema Raya Dato’ Siti Untuk Tahun Ini?
Biasanya pada Hari Raya yang pertama, kami sekeluarga akan mengabadikan gambar kenangan dan tentunya pakaian sedondon menjadi pilihan. Ada beberapa warna pilihan kali ini dan saya akan memastikan suami dan anak-anak juga memakai baju sama warna. Apakah warna pilihan saya kali ini, perlu tunggu di Instagram saya pada Hari Raya nanti.
Raya Di KL Atau Di Kampung?
Saya dan suami akan berhari raya di Kuala Lumpur dahulu jika ibu saya tidak datang ke sini. InsyaAllah, saya bercadang pulang ke Kuala Lipis dan juga ke kampung suami di Kedah. Namun segalanya akan diputuskan mengikut keadaan nanti.
Bagaimana Dengan Persiapan Baju Raya Tahun Ini Untuk Diri Sendiri, Suami Dan Anak-Anak?
Saya ada koleksi baju raya yang saya hasilkan bersama-sama dengan Rizman Ruzaini, iaitu Rizman Ruzaini X Siti Nurhaliza. Selain memakai koleksi baju raya ini, saya juga ada menempah khas baju dari Rizman Ruzaini untuk dipakai sedondon dengan Aafiyah.
Apakah Menu Yang Dato’ Siti Wajib Hidangkan Pada Hari Raya?
Memandangkan saya tinggal bersama-sama ibu mentua, pagi raya pasti ada menu khas daripada beliau seperti ketupat daun palas dan rendang. Saya pula pasti tidak ketinggalan menghidangkan nasi impit berserta kuah kacang. Ada menu yang kami masak dan ada juga yang kami tempah khas.
Apa Pula Kuih Raya Kegemaran Dato’ Siti?
Kuih raya pula saya suka biskut dahlia dan juga tart nenas. Saya akan membeli atau menempah biskut raya yang saya suka tetapi dalam masa yang sama, saya juga mendapat banyak hadiah biskut raya daripada para peminat.
Beli Tak Kelengkapan Atau Persiapan Raya Di Shopee? Boleh Dato’ Siti Kongsikan Dengan Kami Apa Yang Dato’ Siti Beli?
Saya juga seperti orang lain yang tidak ketinggalan membeli-belah di Shopee. Saya ada melihat baju raya sedondon ibu dan anak perempuan dan ini juga antara yang saya beli selain keperluan dapur dan hiasan rumah.
Ada Banyak Kompilasi Serta Koleksi Lagu-Lagu Raya Yang Dinyanyikan Oleh Dato’ Siti. Yang Mana Satu Lagu Kegemaran Dato’ Dan Kenapa?
Saya sukakan semua lagu raya yang pernah saya rakamkan termasuk lagu raya terbaharu berjudul Lip Lap Raya. Lagu raya pertama yang saya rakamkan ialah lagu Sesuci Lebaran dan ini merupakan salah satu lagu raya yang memberi makna tersendiri kepada saya.
Perasaan Dato’ Siti Untuk Menyambut Hari Raya Tahun Ini? Apa Yang Berbeza Dari Tahun-Tahun Sebelumnya?
Saya teruja kerana dapat beraya bersama-sama keluarga dan kehadiran dua cahaya mata memberikan sinar dalam hidup saya. Sebagai ibu, persiapan raya anak-anak menjadi keutamaan dan saya gembira kerana dapat menyiapkan keperluan mereka.
Memori Di Hari Raya Yang Paling Indah Dan Paling Sukar Untuk Dilupakan?
Memori Hari Raya yang sukar dilupakan tentulah pada zaman kanak-kanak. Saya dan kawan-kawan akan berjalan keliling kampung untuk beraya di samping dapat mengumpul duit raya. Poket baju raya juga berat dengan duit syiling dan itu keseronokan pada zaman kanak-kanak.
Boleh Tak Ceritakan Serta Kongsikan Sedikit Tentang Kenangan Manis Beraya Bersama Arwah Abah?
Arwah abah seorang yang mementingkan disiplin dan tegas. Di pagi raya kami adik beradik akan dikejutkan supaya bangun awal untuk membantu ibu memasak dan mengemas rumah sebelum tetamu datang. Saya juga paling rindukan suasana bersalam-salaman dan memohon maaf di pagi raya dengan arwah abah.
Perkembangan Seni Dan Perniagaan Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Dato’ Siti sememangnya sosok yang cukup disegani di dalam industri muzik tanah air lebih-lebih lagi setelah tersenarai dalam Top 100 Most Awarded Musician of All Time. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan figura ahli perniagaan berjaya dengan perniagaan kosmetik SimplySiti, produk kesihatan BeauSiti dan yang terbaru, koleksi hijabnya sendiri, Afiya by Siti Nurhaliza. Mungkin ada peminat yang tertanya-tanya akan perkembangan terkini Dato’ Siti dan ingin tahu lebih lanjut berkenaanya.
Setelah Lebih Dua Dekad Dalam Industri Muzik Dan Baru-Baru Ini Tersenarai Dalam Top 100 Most Awarded Musician Of All Time, Juga Satu-Satunya Artis Malaysia Yang Berada Di Dalam Senarai Tersebut (Menewaskan Celine Dion, Justin Timberlake, Bruno Mars Dan Ramai Lagi Artis Antarabangsa), Boleh Kongsikan Perasaan Dato’ Siti Di atas Kejayaan/Penghargaan Tersebut?
Saya hargai usaha pemilik akaun Twitter itu. Saya percaya pemilik akaun tersebut membuat senarai berdasarkan kajian, pembacaan dan perkembangan setiap artis.
Apa yang dipaparkan adalah bilangan senarai anugerah yang diterima artis dan secara tidak langsung saya turut gembira kerana turut tersenarai dan ada yang mengikuti perkembangan saya di dalam industri muzik.
Apa-pun terima kasih kerana pemilik akaun tersebut telah membuat semakan berapa jumlah anugerah diperolehi artis sama ada luar atau dalam negara.
Apakah Perancangan Seni Dato’ Siti Dalam Masa Terdekat? Ada Rancangan Untuk Mengadakan Konsert Atau Sebagainya?
Saya memang berhasrat mengadakan showcase khas dan konsert. Perancangan mengadakannya sedang berjalan dan saya juga sedang mencari penaja. Jika semuanya berjalan lancar, saya mahu mengadakannya sebelum akhir tahun ini. Saya juga akan muncul dengan single terbaharu sebelum muncul dengan album penuh.
Tahun Lepas Dato’ Siti Telah Melancarkan Jenama Afiya By Siti Nurhaliza. Boleh Dato’ Siti Kongsikan Sedikit Tentang Jenama Ini?
Afiya adalah jenama yang mengeluarkan koleksi keperluan muslimah seperti hijab, telekung, aksesori, beg dan banyak lagi. Di bawah label Afiya, saya dapat mengeluarkan apa yang diperlukan oleh seorang muslimah dalam pemakaian. Afiya merupakan produk yang mampu dimiliki oleh semua golongan.
Jadi, peminat-peminat tegar Dato’ Siti di luar sana yang tak sabar nak tengok baju raya Dato Siti untuk tahun 2022, pastikan anda ikuti akaun Instagram rasmi artis kesayangan anda ni. Mana tahu ada peluang beraya bersama-sama nanti. Nak tampil cantik di pagi raya macam Dato’ Siti? Anda boleh tiru style tudung selebriti Malaysia dan cuba cara makeup simple untuk menaikkan seri wajah anda. Selamat Hari Raya!