Siapa Kata Filem Seram Melayu Kurang Gempak? Cuba Tonton Filem-Filem Ini Dahulu

Filem melayu seram

Seringkali kita membaca artikel yang mengesyorkan filem-filem seram terbaik dari arena antarabangsa, terutamanya dari negara barat, Jepun, Korea Selatan, dan Thailand. Bagi peminat-peminat tegar filem seram, sudah pastinya mereka telah tonton kesemua atau sebahagian besar daripada filem yang dipaparkan. Apa kata anda tukar citarasa sikit dan cuba menjamu filem seram Melayu tempatan? Kami tahu filem-filem tempatan tidak mempunyai reputasi yang memberangsangkan apabila dibandingkan dengan filem taraf antarabangsa, tetapi ini tidak bermakna mereka semua buruk. Jika anda mencari-cari filem hantu tempatan yang menarik dan mampu memberikan hiburan sejam dua, teruskan membaca!

14 Filem Seram Melayu Yang Berbaloi Untuk Anda Tonton

Ilmu hitam, zombi, dan cerita yang berdasarkan kisar benar, semuanya ada di sini!

1.   Roh

Filem-filem seperti Midsommar (Amerika Syarikat) dan The Wailing (Korea Selatan) menunjukkan bahawa “folk horror” memang meremang bulu roma. Roh merupakan filem seram Melayu genre ini yang mengisahkan kejadian aneh yang menimpa sebuah keluarga di dalam hutan zaman dahulu apabila dikunjungi seorang kanak perempuan misteri. Filem ini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan juga telah dipilih sebagai filem wakil Malaysia di Anugerah Oscars yang ke-93 pada tahun 2021.

Boleh ditonton di: Netflix

Barisan pelakon: Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron

Masa berjalan: 83 minutes

2.   Munafik & Munafik 2

Teringat lagi filem seram Melayu yang mencipta rekod pecah panggung beberapa tahun lalu? Munafik dan sekuelnya, Munafik 2 berjaya menakutkan ribuan penonton di pawagam. Filem-filem ini juga memperoleh banyak anugerah industri filem tempatan, menjadikan mereka sebagai antara filem seram buatan Malaysia paling sukses. Jika anda tak pernah menonton, tunggu apa lagi?

Boleh ditonton di: Netflix

Barisan pelakon: Syamsul Yusof, Nabila Huda, Sabrina Ali

Masa berjalan: 98 minutes

3.   Susuk

Kebanyakan anda kenal dengan amalan susuk yang melibatkan seseorang memasukkan bahan asing (termasuk emas, perak, logam, atau kayu) ke dalam tubuh badan untuk mendapatkan suatu kelebihan seperti meningkatkan daya tarik atau menjamin kejayaan bisnes. Jika anda dah tak sedap badan memikirkan amalan sihir ini, filem Susuk pastinya akan membuatkan anda banyak menutup mata semasa menonton!

Boleh ditonton di: Netflix

Barisan pelakon: Diana Rafar, Ida Nerina, Adlin Aman Ramlie

Masa berjalan: 104 minutes

4.   Highland Tower

Tragedi Highland Tower yang berlaku pada tahun 1993 merupakan satu bintik hitam di sejarah Malaysia yang tidak akan dilupakan. Sebuah filem seram berdasarkan tragedi tersebut ditayangkan pada tahun 2013. Filem Highland Tower menceritakan tentang sekumpulan krew televisyen yang ingin merakam dokumentari paranormal di tempat kejadian. Jika anda peminat genre “found footage”, filem ini wajib tonton.

Boleh ditonton di: YouTube

Barisan pelakon: Mikail Andre, Shima Anuar, Eddy Rauf

Masa berjalan: 83 minutes

5.   Dukun

Kisah benar Mona Fandey tidak pernah gagal meremang bulu roma sesiapa yang pernah mendengarinya. Ia adalah premis untuk Dukun, sebuah filem seram yang dirakam pada tahun 2006 tetapi dilarang tayang selama 12 tahun atas unsur-unsur kontroversi. Ia akhirnya dibenarkan tayang di pawagam pada tahun 2018, dan bagi mereka yang ingin tahu sebab disebalik kontroversi tersebut, jangan melepaskan peluang untuk menontonnya.

Boleh ditonton di: Astro Shaw

Barisan pelakon: Umie Aida, Faizal Hussein, Elyana

Masa berjalan: 108 minutes

6.   Pusaka

Seorang polis inspektor dihantui kejadian aneh setelah menemui sebuah pasangan kembar yang dikurung dalam sebuah rumah terbiar. Tidak lama selepas itu, satu demi satu individu yang terlibat di dalam kes pasangan kembar tersebut ditemui mati. Mampukah polis inspektor tersebut menyelesaikan kes misteri sebelum beliau pun menemui ajalnya?

Filem keluaran 2019 ini mendapat sambutan dan reviu positif. Manakala ada juga yang berpendapat bahawa ia antara filem seram Melayu yang paling best!

Boleh ditonton di: Astro Shaw

Barisan pelakon: Syafiq Kyle, Mimi Lana, Farhanna Qismina Sweet

Masa berjalan: 108 minutes

7.   Miimaland

Ada sesiapa yang fikir taman tema terbiar tidak menyeramkan? Dalam filem Miimaland, sekumpulan individu berjelajah menyiasat Mimaland yang merupakan taman tema terbiar yang bukan fiksyen tetapi betul-betul wujud di Gombak, Selangor. Dapatkah mereka keluar dengan hidup-hidup? Anda kena saksikannya sendiri untuk mengetahui jawapannya!

Boleh ditonton di: Astro First

Barisan pelakon: Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Camelia Natasha

Masa berjalan: 90 minutes

8.   Misteri Dilaila

Misteri Dilaila mendapat perhatian ramai apabila ia ditayangkan pada tahun 2019 diatas sebab ia mengandungi dua ending yang berbeza. Penonton yang ingin tahu kedua-duanya perlu menyaksikan filem ini dua kali di lokasi pawagam yang tertentu.

Sekiranya anda peminat misteri dan “psychological horror“, cuba bagi peluang kepada Misteri Dilaila. Ia menceritakan kisah sebuah pasangan suami isteri yang pergi melancong dimana si isteri didapati hilang pada malam pertama sebelum muncul semula dikemudian hari. Tetapi, si suami mengesyaki bahawa individu yang muncul tersebut bukanlah isteri sebenar beliau, tetapi seorang penyamar. Ataupun ini semua hanya khayalan si suami sahaja?

Boleh ditonton di: Astro First

Barisan pelakon: Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Namron

Masa berjalan: 80 minutes

9.   Karak

Lebuhraya manakah yang paling berhantu di Malaysia? Ia semestinya Lebuhraya Karak yang serba terkenal dengan kisah-kisah yang mengerikan. Tambahan pula, sudah pastinya ada sebuah filem yang berdasarkan atas lebuhraya yang diguna ramai pemandu untuk pergi ke negeri-negeri pantai timur.

Karak mengisahkan tentang empat sekawan kolej yang menemui kejadian-kejadian seram apabila menggunakan lebuhraya Karak untuk pulang ke kampus. Bagi anda sendiri yang kerap memandu di lebuhraya tersebut, ada berani tonton filem ini?

Boleh ditonton di: YouTube

Barisan pelakon: Shera Ayob, Along Eyzendy, Sidek Hussain

Masa berjalan: 90 minutes

10.   KL Zombi

Senarai ini tidak lengkap jika kita tidak masukkan zombi yang merupakan subjek kegemaran bagi banyak filem seram Melayu. Meskipun mereka tidak mencapai tahap Train To Busan atau 28 Days Later, filem zombi tempatan tidak kurang menghiburkan.

Kebanyakan filem zombi tempatan jatuh ke dalam kategori seram komedi, dan KL Zombi tiada bezanya. Pernahkah anda bayangkan jika KL diserang zombi? Saksikan filem ini untuk ketahui senario tersebut!

Boleh ditonton di: Netflix

Barisan pelakon: Zizan Razak, Siti Saleha, Izara Aishah

Masa berjalan: 97 minutes

11.   Dendam Orang Mati

Lain daripada kebanyakkan filem seram Melayu yang biasanya tepu dengan jin, pontianak, dan zombi, premis disebalik Dendam Orang Mati melibatkan kepercayaan kaum Cina yang pantang dengan numbur empat kerana bunyi sebutannya seiring kematian.

Dengan itu, filem ini memaparkan satu perspektif baru yang jarang dijumpai di filem-filem seram Melayu. Tambahan pula, Dendam Orang Mati juga berjaya meraih beberapa anugerah industri filem tempatan untuk lakonannya.

Boleh ditonton di: YouTube

Barisan pelakon: Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Meira Leyana

Masa berjalan: 81 minutes

12.   Penanggal

Penanggal bukan sahaja dibintangi oleh para pelakon berkaliber, malah ia juga pernah dipilih untuk disiarkan di festival-festival filem paling berprestij seperti Cannes.

Filem ini berkisahkan tentang ilmu hitam, tetapi ia bukan sekadar filem seram sahaja. Penanggal juga mengandungi unsur cinta, kekeluargaan dan isu semasa masyarakat yang boleh dijadikan iktibar.

Boleh ditonton di: Astro Shaw

Barisan pelakon: Ummi Nazeera, Fasha Sandha, Zul Ariffin

Masa berjalan: 100 minutes

13.   Ular

Dah muak dengan hantu, syaitan, dan jin? Apa kata anda layan satu lagi makhluk yang digeruni ramai?

Jika anda sukakan filem-filem seperti Anaconda dan Snakes On A Plane, filem seram Melayu Ular wajib ditonton! Dari segi plot, ia menceritakan tentang sekumpulan pelancong yang terdampar di sebuah pulau yang dipenuhi ular.

Boleh ditonton di: YouTube

Barisan pelakon: Lisa Surihani, Yusry Abd Halim, Zarina Anjolie

Masa berjalan: 74 minutes

Filem-Filem Seram Melayu Ada Juga Yang Menghiburkan

A hand behind a screen
Kredit: MontyLov di Unsplash

Tidak dapat dinafikan bahawa filem-filem seram Melayu sering mendapat kritikan orang ramai. Mereka jauh daripada yang terbaik jika dibandingkan dengan filem taraf antaranbangsa ataupun filem dari negara jiran. Meskipun begitu, terdapat juga beberapa filem buatan tempatan yang berkualiti tinggi dan mampu memberi kepuasan kepada para penonton seperti yang disenaraikan di sini. Jom layan! 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *