Cheongsam, Hanfu, Dan Pakaian-Pakaian Tradisional Cina Di Malaysia

pakaian tradisional cina

Rakyat Malaysia amatlah bertuah kerana berpeluang tinggal di negara berbilang kaum. Masyarakat majmuk ini memberi peluang kepada pelbagai etnik untuk berkongsi dan menghayati keindahan budaya kaum-kaum lain. Salah satu aspek budaya yang menarik adalah pakaian-pakaian tradisional. Masing-masing kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, dan sebagainya mempunyai pakaian tradisional sendiri yang unik dan sangat menarik mata. Menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang tidak lama lagi, mari kita mengenali pakaian-pakaian tradisional kaum Cina yang masih lagi dipakai sehingga hari ini dan juga amalan-amalan berpakaian semasa beraya bagi kaum Cina.

Jenis-Jenis Pakaian Tradisional Cina Untuk Kaum Lelaki & Wanita

Empat pakaian tradisi masih lagi dipakai pada masa kini.

1.   Hanfu

hanfu pakaian tradisional cina
Kredit: Justice League Shop di Shopee Malaysia

Menelusuri sejarah lebih daripada 4,000 tahun lamanya, hanfu merupakan salah satu pakaian tradisional kaum Cina wanita tertua sehingga kini. Pakaian ini terdiri dari jubah berkolar silang terbuka, lengan panjang lebar, skirt maxi, dan selendang pinggang. Manakala di dalamnya, pakaian dalam yang diperbuat daripada cotton atau linen menjadi kebiasaan.

Meskipun ia bukanlah pakaian yang umum, hanfu membolehkan si pemakai menonjolkan diri apabila dipakai semasa perayaan Tahun Baru Cina atau di pesta kostum. Terdapat pelbagai gaya hanfu yang berbeza, tetapi gaya dari dinasti Tang, Ming, dan Song adalah pilihan paling popular di kalangan wanita.

2.   Qipao/Cheongsam

Cheongsam dan qipao pakaian tradisional cina
Kredit: CaiCaixp.my dan jiali.my di Shopee Malaysia

Anda mungkin tertanya-tanya apakah perbezaan di antara qipao dan cheongsam. Secara umumnya, kedua-duanya merujuk kepada gaya pakaian yang sama. Namun, qipao asli pertama kali berasal dari zaman pemerintahan Manchu pada abad ke-17. Pada masa itu, gaya pakaian ini lebih longgar dengan potongan A-line dan lengan panjang. Menjelang tahun 1920-an, cheongsam yang lebih memeluk tubuh (seperti yang kita kenali pada hari ini) semakin popular.

Kini, cheongsam merupakan jenis pakaian tradisional Cina yang paling umum dipakai oleh kaum wanita. Pakaian one-piece ini mempunyai potongan lurus yang menonjolkan siluet si pemakai serta menyerlahkan bentuk badan hourglass. Komponen-komponen cheongsam lain meliputi kolar leher tinggi, lengan pendek, dan celah di sisi peha.

3.   Tang Suit

Tang suit pakaian tradisional cina
Kredit: lailai88.my di Shopee Malaysia

Tang suit berasal dari dinasti Qing dan ia mempunyai dua lapisan. Lapisan luar terdiri daripada jaket berkolar mandarin yang tingginya sekitar lima hingga sepuluh sentimeter ke leher. Sementara itu, lapisan dalam terdiri daripada changsan yang seakan-akan jubah panjang atau tunik, walaupun kini ramai pakai kemeja T sahaja.

Pada awalnya, baju tradisi cina ini biasanya berwarna biru gelap dan dipakai sebagai pelindung kepada changsan. Lama-kelamaan, ia berubah menjadi pakaian fesyen tradisional Cina yang popular di kalangan lelaki.

4.   Zhongshan/Mao Suit

zhongshan suit
Kredit: kll3opp dan hupi5698 di Shopee Malaysia

Salah satu lagi baju tradisi Cina untuk lelaki adalah Zhongshan suit yang menggabungkan gaya barat dengan gaya tradisional Cina. Pakaian luar ini mempunyai empat poket besar di bahagian depan (dua di atas dan dua lagi di bawah) yang melambangkan empat nilai murni—kesopanan, kebenaran, kejujuran, dan rasa malu.

Zhongshan suit juga mempunyai lima kancing di bahagian pusat dan juga tiga kancing kecil di setiap lengan pakaian.

Amalan/Pantang Berpakaian Semasa Perayaan Tahun Baru Cina

Bukan boleh pakai sesuka hati sahaja.

1.   Wajib Pakai Pakaian Baru

Selain menyerikan lagi penampilan anda, berpakaian baru dari leher ke kaki semasa menyambut Tahun Baru Cina adalah digalakkan kerana ia dipercayai bahawa barang baru melambangkan suatu permulaan yang baru.

2.   Berpakaian Hitam/Putih Tidak Digalakkan

Setiap keluarga mempunyai amalan-amalan tradisi Tahun Baru Cina yang sedikit berbeza, tetapi secara umumnya, berpakaian hitam dan putih (terutamanya pada hari pertama perayaan) sama sekali dianggap tidak sesuai.

Ini kerana warna hitam dikaitkan dengan kematian, kemurungan, dan nasib malang, sementara warna putih melambangkan perkabungan. Jadi, sebaiknya kedua-dua warna ini dielakkan sehingga berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina.

3.   Banyakkan Guna Warna Merah Dan Emas

Kita sering melihat warna merah digunakan dengan meluas dalam hampir semua aspek perayaan Tahun Baru Cina terutamanya pada pakaian dan perhiasaan. Ini kerana merah adalah simbol kepada tuah dan kemakmuran.

Dari sarung kusyen hinggalah ke alas meja, anda boleh melihat merah di mana-mana sahaja ketika musim perayaan ini menjelang. Selain merah, warna emas juga digemari dan sering digunakan kerana ia melambangkan kekayaan.

4.   Elakkan Mencuci Pakaian

Ini tidak bermakna pakaian tidak perlu dicuci sepanjang perayaan Tahun Baru Cina. “Peraturan” ini hanya diamalkan untuk dua hari pertama perayaan sahaja, atas sebab tempoh ini dianggap sebagai hari jadi Water God (Dewa Air). Jadi, mencuci pakaian pada dua hari ini dianggap tidak hormat kepada dewa tersebut secara simboliknya.

Selain itu, ada juga yang percaya bahawa membuang air yang digunakan untuk mencuci pakaian adalah sama seperti membuang kekayaan!

Pakaian Tradisional Cina Dan Kaum-Kaum Lain Mencerminkan Kekayaan Warisan Budaya

traditional chinese clothing
Credit: CaiCaixp.my and lailai88.my on Shopee Malaysia

Kesimpulannya, pakaian tradisional Cina memainkan peranan yang penting dalam warisan dan identiti budaya masyarakat Cina di Malaysia. Dengan corak yang kaya dan reka bentuk yang unik, pakaian-pakaian ini mencerminkan keindahan dan keanggunan warisan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi. Dalam kepelbagaian budaya-budaya di Malaysia, pakaian tradisional semua kaum menjadi sebahagian daripada landskap kaya yang menyatukan masyarakat berbilang etnik.

Kenali juga pakaian tradisional Melayu dan pakaian tradisional India

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *