Setiap bulan Mei, seluruh dunia meraikan tokoh ibu dalam keluarga masing masing. Bagi kanak-kanak yang ingin menyampaikan tanda penghargaan dan sayang kepada bondanya, satu cara mudah dan terbaik adalah dengan memberikan kad ucapan hari ibu buatan tangan sendiri yang tentunya lebih bermakna daripada kad yang dibeli di kedai. Jika anak-anak anda berminat atau berbakat dalam seni dan kraf, berikut adalah beberapa idea kad hari ibu DIY menarik yang mereka boleh cuba!
Idea Kad Ucapan Hari Ibu Yang Mudah Dan Ringkas Untuk Dibuat Kanak-Kanak
Dari rekaan bunga hinggalah ke kumbang kura-kura, 12 idea kad ucapan hari ibu ini boleh dihasilkan dengan segelintir bekalan alat tulis.
1. Kad Bunga Tulip Kertas 3D
Ibu sukakan bunga? Anak-anak boleh menceriakan harinya dengan memberikan kad ucapan bermotifkan bunga tulip dengan rekaan 3D yang menonjol mata. Hanya alat-alat tulis asas diperlukan serta kemahiran menggunting dan melipat. Walaupun ia tidaklah begitu susah untuk dibuat, anda juga boleh mencetak templat tulip yang disertakan bersama video di atas untuk memudahkan lagi kerja.
Bahan-bahan keperluan:
- Base kad
- Kertas warna
- Gunting
- Gam pelekat
2. Kad Belon Cap Jari
Anak-anak adalah hadiah kurniaan terbaik untuk ibu-ibu. Jadi, kad ucapan yang memaparkan elemen peribadi seperti cap jari anak-anak memang satu idea yang menarik. Seperti yang ditunjukkan dalam video tutorial, si kecil boleh menghasilkan bentuk belon dengan cap jari mereka dan lengkapkan dengan melekat sebuah riben di bawah tali belon yang dilukis.
Bahan-bahan keperluan:
- Stok kad putih
- Cat dalam warna pastel
- Pen market hitam dan ungu
- Riben
3. Kad Tangan Hati Melipat
Selain cap jari, anak-anak juga boleh membuat kad ucapan hari ibu menggunakan bentuk tangan. Rekaan DIY ini meninggalkan memori dan kenangan indah kelak apabila anak sudah membesar. Mesej ringkas boleh ditulis di dalam rekaan hati di tengah tapak tangan.
Bahan-bahan keperluan:
- Kertas warna
- Gam
- Gunting
- Pen marker merah
4. Kad Kumbang Kura-Kura
Hanya dengan teknik menggunting dan origami asas, anak-anak kecil boleh menggembirakan ibu dengan kad ucapan hari ibu berbentuk kumbang kura-kura yang comel ini. Ia mempunyai elemen kejutan dengan sayapnya yang boleh dibuka dan mengandungi mesej.
Bahan-bahan keperluan:
- Kertas warna
- Gunting
- Gam putih
- Pen mata halus
5. Kad Jambak Bunga
Sejambak bunga segar memerlukan kos untuk membeli, tetapi “bunga“ ini percuma dan boleh bertahan bertahun-tahun lamanya. Jika penggunaan kompas geometri agak rumit untuk kanak-kanak kecil, anda boleh sediakan sebarang objek berbentuk bulat untuk menyenangkan proses melakar di atas kertas. Untuk ”menghidupkan“ bunga kertas ini, semburkan minyak wangi berbau floral di atasnya sebelum memberikannya kepada ibu.
Bahan-bahan keperluan:
- Stok kad putih
- Kertas warna
- Kompas geometri
- Gunting
- Penebuk lubang
- Gam pelekat
6. Kad “Pop Up” Berbentuk Hati
Kad ucapan berbentuk hati berkilauan ini mungkin memerlukan lebih banyak usaha untuk dihasilkan berbanding kad-kad yang lain, tetapi hasil akhirnya memang berbaloi apabila anak-anak melihat reaksi ibu apabila menerimanya. “Hati” ini boleh dibuka untuk mendedahkan mesej ringkas mengikut kreativiti penulisnya.
Bahan-bahan keperluan:
- Kertas kraf
- Gunting
- Pen marker hitam
- Gam putih
- Pembaris
- Pensel
- Foam sheet bergemerlapan merah
7. Kad “Pop Up” Bouquet Bunga
Proses membuat kad ini senang diikuti oleh kanak-kanak. Dengan menggunakan satu teknik yang mudah saja, mereka boleh mencipta efek timbul kepada rekaan hiasan bunga di atas permukaan kad yang menjadikannya lebih menarik kepada mata.
Bahan-bahan keperluan:
- Kertas warna
- Pen marker hitam
- Gunting
- Gam Pelekat
8. Kad Origami
Jangan bimbang jika anak-anak tidak mahir dengan seni origami! Proses menghasilkan kad ini boleh membantu anak-anak melatih kemahiran motor halus mereka dengan mengikuti arahan melipat yang mudah. Selain itu, kad ini mempunyai ruang di mana item-item kecil boleh disertakan sekali untuk diberikan kepada ibu.
Bahan-bahan keperluan:
- Kertas origami
- Kertas warna
- Pen felt tip
- Gam pelekat
- Pita double-sided
9. Kad Pinggan Kertas Matahari
Lain daripada kad ucapan hari ibu yang biasanya memaparkan rekaan bunga dan hati, kad ini berbentuk matahari yang tidak kurang comelnya dan menarik mata. Ia mudah dan cepat untuk dihasilkan dan pastinya akan menceriakan hari ibu yang menerimanya.
Bahan-bahan keperluan:
- Pinggan kertas
- Gunting
- Cat boleh basuh
- Berus cat
- Pen felt tip
- Penebuk lubang
- Tali jut
10. Kad Bunga Hati
Jika anak-anak mempunyai rentang perhatian yang singkat, bolehlah cuba buatkan kad bunga hati 3D ini yang boleh dihasilkan dalam masa kurang 3 minit sahaja. Ia hanya memerlukan kerja melipat dan menggunting yang ringkas untuk menghasilkan sebuah kad yang menarik perhatian.
Bahan-bahan keperluan:
- Kertas warna
- Gunting
- Pensel
- Gam Pelekat
- Pen felt tip
11. Kad Coffee Cup
Jika ibu seorang peminat kopi, beliau pasti teruja menerima kad yang berbentuk cawan kertas kopi ini yang senang dibuat. Sertakan sekali baucar ataupun gift card daripada kedai kopi kegemarannya sebagai kejutan manis!
Bahan-bahan keperluan:
- Stok kad putih dan berwarna
- Pelekat berbenuk hati
- Baker’s twine
- Pita selofan jelas
- Gunting
- Gam pelekat
12. Kad Cawan Teh
Kepada ibu yang gemar minum teh pula, kad yang mempunyai rekaan cawan teh memang sesuai sekali untuk mencuit hatinya. Video tutorial di atas menggunakan pinggan kertas sebagai bahan asas, tetapi anda juga boleh gunakan kotak telur sebagai alternatif untuk menghasilkan efek 3D yang lebih menarik seperti yang ditunjukkan di video ini. Sertakan sekali uncang teh kegemaran ibu untuk melengkapkan kad istimewa ini.
Bahan-bahan keperluan:
- Pinggan kertas
- Kertas pembinaan
- Gunting
- Pen marker
Buatkan Kad Ucapan Hari Ibu Yang Cukup Istimewa Dengan Idea-Idea DIY Ini
Dengan menggunakan idea-idea kad ucapan hari ibu ini, maka tidak perlulah membeli kad di luar. Selain menjimat kos, kad buatan tangan sudah tentunya lebih bermakna dan menunjukkan keikhlasan dari hati. Selain itu, proses membuat kad menjanjikan aktiviti seronok untuk anak-anak kecil dan ibubapa untuk meluangkan bersama!