Sebagai rakyat Malaysia, durian bukanlah sesuatu yang asing kepada kami. Dengan musim durian kian menjelang, setiap jenis durian di Malaysia sudah sedia untuk dinikmati. Cinta kami terhadap raja buah tidak dapat dinafikan dan ramai yang sanggup berbelanja bagi menikmati buah kegemaran mereka.
Bilakah Musim Durian Di Malaysia?
Biasanya, musim durian bermula pada awal bulan April sehingga bulan Ogos-September. Walau bagaimanapun, musim bagi setiap buah-buahan adalah berbeza antara satu sama lain. Contohnya, akhir bulan Jun merupakan bulan yang paling sesuai untuk menikmati Musang King.
Bagi individu yang baru kepada durian, ia mungkin sukar untuk mereka memilih durian yang sesuai kerana terdapat banyak jenis durian di Malaysia. Kami akan menjelaskan semua jenis durian yang terkenal di Malaysia di bawah serta menerangkan rasa dan tekstur untuk setiap satunya. Kami berharap selepas ini, anda akan lebih jelas dan tahu serba sedikit bagaimana untuk memilih durian yang paling sesuai.
Perbezaan Antara 15 Jenis Durian Di Malaysia
Berapa banyak jenis durian di Malaysia yang anda kenal?
1. Musang King (Juga Dikenali Sebagai Mao Shan Wang)
Tidak dapat dinafikan, raja kepada segala raja buah adalah Musang King atau Mao Shan Wang, yang merupakan durian paling terkenal di Malaysia dan negara-negara lain. Musang King terkenal disebabkan isinya yang lembut dan berkrim dengan rasa pahit serta manis. Ia juga mempunyai bau yang harum dan sedap dijadikan ais krim serta dimakan dengan pastri.
Rasa: Berkrim dengan rasa pahit manis
Tekstur: Isi yang tebal dan lembut
Warna: Kuning keemasan
2. D24
Sebelum kewujudan Musang King, D24 amat terkenal. Walaupun kini ia kurang popular, ia tetap mempunyai peminat setianya yang tertarik dengan rasa pahit yang unik. Ia juga mempunyai sedikit rasa lemak berkrim. Sekiranya anda membawa rakan untuk mencuba durian buat kali pertama, cubalah durian D24 kerana rasanya tidak terlalu kuat.
Rasa: Pahit dengan sedikit rasa manis dan alkohol
Tekstur: Isi yang agak tebal dan kadang-kadang kering
Warna: Kuning pucat
3. Tekka
Tekka diberikan gelaran Musang Queen selepas Musang King. Ia terkenal kerana mempunyai tekstur yang konsisten disertakan dengan sedikit rasa pahit. Antara semua jenis durian di Malaysia, Tekka paling sukar didapati. Oleh itu, jika anda terjumpa Tekka, anda mesti beli dan mencubanya.
Rasa: Pahit dan masam
Tekstur: Lembut dan senang pecah
Warna: Kuning pucat dengan sedikit keputihan
4. Black Thorn
Membandingkan penampilan antara jenis durian di Malaysia, anda pasti dapat cam Black Thorn jika anda melihatnya. Isinya mempunyai tona oren yang seperti matahari terbenam. Apabila anda memegang isinya, anda akan merasakan kelembutannya tanpa serat yang berkrim yang memiliki rasa pahit dan manis. Harga Black Thorn agak tinggi dan mahal.
Rasa: Seperti Musang King, rasa manis serta pahit dengan keseimbangan antara kedua-duanya
Tekstur: Ringan dan mempunyai tekstur seperti marshmallow
Warna: Jingga terang
5. Udang Merah
Sekiranya anda lebih gemar makanan yang manis, Udang Merah pasti akan memikat selera anda. Ditanam dan ditumbuhi di Johor dan Pahang, Udang Merah lebih sesuai sebagai “pencuci mulut” berbanding dengan jenis durian yang lain di Malaysia. Isi kuning jingga kemerahannya berkrim dan memiliki rasa lemak manis, serta tiada rasa kepahitan.
Rasa: Manis
Tekstur: Berkrim tetapi kadang-kadang berair
Warna: Jingga kemerahan
6. Golden Phoenix
Anda pasti dapat cium bau durian Golden Phoenix dari jauh disebabkan oleh aromanya yang kuat. Ia mempunyai rasa yang enak, unik, dan tidak berkrim seperti D24 atau Musang King kerana ia memiliki kandungan air yang lebih tinggi dalam isinya. Harga yang berpatutan serta ketersediaannya menjadikan Golden Phoenix pilihan popular di kalangan penggemar durian.
Rasa: Pahit, kadang-kadang manis
Tekstur: Kurang berkrim dengan tekstur berair
Colour: Kuning pucat
7. XO
XO mendapat kepahitannya daripada proses penapaian yang berpanjangan. Proses ini juga memberikan isi durian XO penampilan yang bersih, meskipun ia mungkin kelihatan kurang menarik pada pandangan pertama. Tetapi apabila anda mencuba isinya, anda akan terpikat dengan rasanya yang luar biasa. XO adalah salah satu jenis durian yang paling digemari di Malaysia.
Rasa: Pahit dengan rasa mirip alkohol
Tekstur: Lembut dan sedikit berair
Warna: Kuning pucat
8. D101
Terkenal di Johor, D101 menggabungkan rasa pahit, manis, dan isi berserat yang menjadikannya amat sedap. Ini adalah durian yang terbaik untuk memuaskan selera anda tanpa anda berasa bersalah. Malah, ia juga sesuai untuk kanak-kanak dan warga tua! Oleh kerana isinya lebih padat berbanding dengan jenis durian yang lain di Malaysia, ia mudah dipisahkan daripada bijinya. Jadi, anda tidak perlu risau tempat makanan menjadi kotor.
Rasa: Pahit manis
Tekstur: Berserat dan padat
Warna: Kuning dan jingga
9. D13
Kerap disalah anggap sebagai Udang Merah, D13 mempunyai isi yang berwarna jingga dan berasa manis dengan sedikit kepahitan. Oleh itu, penggemar durian mungkin tidak akan tertarik dengan rasa D13. Berbanding dengan jenis durian yang lain, biji D13 lebih besar yang diimbangi dengan tanda harga yang berpatutan.
Rasa: Manis dengan sedikit kepahitan
Tekstur: Melekit, tidak berserat
Warna: Merah dan jingga
10. Black Pearl
Durian Black Pearl merupakan antara durian yang paling rare di pasaran. Justeru, harganya pun lebih mahal daripada biasa. Menurut peminat-peminat durian, rasanya yang istimewa mewarankan harga tingginya. Isinya berasa pahit bercampur sedikit manis-kemanisan.
Rasa: Pahit dengan sedikit kemanisan
Tekstur: Lembut
Warna: Kuning putih pucat
11. Tupai King
Tupai King mampu bersaing dengan Musang King untuk gelaran raja durian! Juga dikenali sebagai D214, Tupai King berasal dari Pulau Pinang dan mempunyai peminat-peminat setia sejak pertama kali dijumpai sekitar dua abad yang lalu. Isinya yang sedikit kehitaman boleh menyebabkan ramai sangka ia rosak tetapi rasanya dikatakan unik sekali.
Rasa: Pahit dengan sedikit kemanisan
Tekstur: Padat, sedikit kering dan melekit
Warna: Kuning dengan sedikit kehitaman
12. D17
Durian D17 bersaiz lebih kecil berbanding kebanyakan durian lain, dan ia boleh dicam dengan durinya yang berbentuk piramid. Walaupun isinya juga bersaiz lebih kecil, ia mempunyai rasa yang secukupnya dan sedikit sebanyak macam kopi.
Rasa: Pahit manis
Tekstur: Berair dan sedikit berserat
Warna: Putih pucat
13. Green Skin (Kulit Hijau)
Durian ini biasanya boleh ditemui di Muar dan Segamat di negeri Johor dan merupakan baka yang jarang. Ia mempunyai rasa manis yang ketara serta tekstur yang kaya dan berkrim. Tambah dengan profil rasa yang unik dengan sedikit rasa alkohol menjadikannya jenis yang harus dicuba setiap penggemar durian.
Rasa: Manis dan kurang pahit
Tekstur: Berkrim dan sedikit berserabut
Warna: Kuning pucat
14. Durian Kampung
Durian kampung merangkumi pelbagai jenis durian tradisional yang terdapat di kawasan luar bandar di seluruh Malaysia. Lazimnya, ia mempunyai gabungan rasa manis dan pahit dengan isi berkrim yang juga kadang-kadang berserabut. Saiz dan bentuknya pula berbeza-berbeza.
Rasa: Manis dan pahit
Tekstur: Berkrim dan berserabut
Warna: Kuning pucat hingga kuning tua, dan kadangkala putih berkrim
15. Durian Jantung
Dinamakan sedemikian kerana bentuknya yang mirip jantung, durian jantung terkenal dengan saiznya yang besar dan isinya yang berwarna kuning pucat. Ia digemari di kalangan penggemar durian dengan rasanya yang manis pahit yang kaya dan memuaskan.
Rasa: Manis dan sedikit pahit
Tekstur: Licin dan berkrim dengan serat minimum
Warna: Kuning pucat
Tip-Tip Berguna Untuk Memilih Durian Terbaik
Biasanya, anda akan bergantung kepada penjual untuk memilih durian anda. Walau bagaimanapun, sesetengah penjual yang kurang jujur mungkin akan cuba untuk menipu anda. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk membeli dari penjual durian yang anda boleh percayai.
Namun, sekali sekala anda harus juga memilih durian anda sendiri. Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu perhatikan.
- Durian yang sedap mempunyai bau yang harum.
- Perhatikan sebarang kelainan pada bentuknya. Sekiranya durian mempunyai sisi cekung, kemungkinan besar ruang tersebut adalah kosong.
- Periksa tangkainya. Durian yang masak mempunyai tangkai yang hijau dan hujungnya berwarna coklat.
- Periksa isinya. Pastikan warnanya tidak jauh daripada warna asalnya.
- Sekiranya semua langkah tidak berhasil, tidak salah anda cuba merasakannya! Durian mempunyai rasa yang unik, dan anda tidak akan tahu sama ada anda akan menyukai jenis tertentu sehingga anda mencubanya.
Kami Bertuah Kerana Terdapat Banyak Jenis Durian Di Malaysia
Sama ada anda suka atau benci rasanya, durian sudah tertanam dalam budaya Malaysia. Lazimnya, rakan dan keluarga boleh mengeratkan hubungan dengan sesi durian selepas makan malam. Malah ada yang makan durian untuk makan malam! Mudah-mudahan, setelah memahami jenis durian di Malaysia, anda dapat membuat keputusan terbaik untuk sesi makan durian yang seterusnya.
Biar sama-sama menikmati durian kegemaran kita, tetapi ingatlah segala-galanya harus dinikmati dalam kadar yang sederhana. Mungkin sarapan yang sihat pada hujung minggu akan membuatkan anda rasa kurang bersalah?