Tiada bahan perasa yang boleh mewakili Malaysia sehebat sambal. Untuk sesetengah orang, sambal wajib ada untuk setiap hidangan kerana tanpanya, mereka merasakan kekosongan yang tidak boleh digantikan dengan ramuan lain. Anehnya, untuk sesuatu yang memiliki rasa yang kompleks, cara buat sambal tidaklah begitu rumit.
Anda mungkin perlu cuba beberapa kali untuk menghasilkan rasa sambal yang sempurna, tetapi semua orang boleh bermula dengan hanya beberapa bahan ramuan sahaja. Berikut adalah enam resipi sambal yang mudah dibuat di rumah.
Resipi Sambal Untuk Dicuba Di Rumah
Cara Buat Sambal Belacan
Sambal belacan adalah gabungan dua bahan ramuan yang dinamik: cili dan belacan. Tetapi bukan semua cili sesuai untuk resipi ini. Pilih cili padi atau cili Thai; kedua-duanya akan memberikan sambal anda rasa yang pedas and sedap. Amaran: bijinya mempunyai rasa yang amat pedas, jadi keluarkan biji untuk mengurangkan kepedasan. Sebagai alternatif, anda boleh menambah jus limau supaya ia sedikit masam dan lebih sedap.
Anda mungkin sudah tahu makanan apa yang sesuai dimakan dengan sambal; nasi lemak, mi goreng, mi udang, dan lain-lain lagi.
Bahan Ramuan:
- 20-25g cili padi atau cili Thai, dihiris dan dibuang bijinya
- 1 sudu besar belacan
- 1 sudu besar jus limau
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Bersihkan cili dengan air bersih dan hiris.
- Panaskan belacan dalam kuali untuk beberapa minit.
- Letakkan cili dengan belacan dalam lesung batu dan tumbuk sehingga ia menjadi pes.
- Masukkan dalam mangkuk dan tambah jus limau, garam serta gula secukup rasa.
Cara Buat Sambal Tumis
Sambal tumis dan sambal belacan hampir sama, walaupun terdapat sedikit perbezaan. Sambal tumis memerlukan masa yang lebih lama kerana ia melibatkan proses pengadukan yang perlahan, sedangkan sambal belacan boleh disediakan dengan lebih pantas. Oleh kerana masa memasak yang lebih lama, kami mengesyorkan untuk menyediakan dalam kuantiti yang banyak. Sambal tumis yang baru disediakan boleh bertahan selama seminggu dalam peti sejuk dan tiga bulan dalam peti sejuk beku.
Resipi sambal tumis ini lazat sebagai sos celup atau ramuan asas untuk makanan kegemaran orang Malaysia seperti sambal sotong dan sambal udang petai.
Bahan Ramuan:
- 2-3 ulas bawang putih
- 3 bawang merah kecil yang dipotong dadu
- 4 cili kering
- 5 cili merah, dihiris dan dibuang biji
- ¾ cawan minyak masak
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Kisar bawang putih, bawang merah kecil, cili kering dan cili merah dalam pemproses makanan atau pengisar sehingga menjadi pes halus. Tambahkan air sekiranya pes nampak kering.
- Dalam kuali, panaskan minyak dan masukkan pes tersebut.
- Turunkan api kepada rendah dan reneh pes sehingga pekat dan bertukar menjadi warna merah tua.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
Cara Buat Sambal Kicap
Apa yang menjadikan sambal kicap unik adalah ia padan dengan buah-buahan, terutamanya jambu batu dan jeruk mangga. Hasilnya adalah sedikit masam ditambah dengan kepedasan yang akan menghiburkan deria rasa anda. Di Johor, sambal kicap sering digunakan sebagai sos celup untuk pisang goreng bagi menambahkan keenakan makanan ranggup tersebut.
Sekiranya anda ingin mengetahui cara buat sambal kicap, anda bernasib baik kerana ia amat mudah disediakan.
Bahan Ramuan:
- 3 cili merah, dihiris dan dibuang biji
- 1 cili padi, dihiris dan dibuang biji
- 2 ulas bawang putih
- 2 sudu besar kicap pekat
- 1 sudu kecil jus limau
- Garam secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Kisar cili merah, cili padi serta bawang putih.
- Masukkan dalam sos pinggan dan gaul dengan kicap pekat.
- Campurkan jus limau serta garam.
Cara Buat Sambal Hijau
Sambal hijau adalah bahan perasa tradisional Indonesia yang mendapat namanya daripada cili padi hijau dan tomato hijau yang digunakan sebagai ramuan. Serai juga salah satu ramuannya, jadi ia amat berbeza dengan sambal-sambal tempatan. Namun begitu, tahap kepedasannya serupa dengan apa yang kami biasa makan. Seperti kebanyakan resepi sambal, golongan tua percaya bahawa lesung batu dapat menghasilkan rasa yang lebih baik. Tetapi jika anda inginkan proses yang lebih mudah, anda boleh gunakan pengisar.
Nikmati sambal hijau dengan ayam atau ikan goreng ala Indonesia. Jika tidak, tumis dengan kacang panjang atau terung untuk hidangan sampingan yang enak dimakan dengan nasi. Inilah cara menyediakan sambal hijau.
Bahan Ramuan:
- 4 cili hijau besar, dipotong kepada 3 bahagian
- 2 cili padi hijau, dibuang biji
- 3 bawang merah kecil
- 2 serai, dihiris nipis
- 2 daun limau purut, dicincang
- Minyak masak
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Kisar secara kasar cili, bawang merah kecial, serai, dan daun limau purut.
- Masukkan bahan-bahan yang dikisar ke dalam kuali panas dengan minyak.
- Gaul untuk lima hingga lapan minit sehingga mempunyai aroma yang sedap.
- Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
Cara Buat Sambal Ikan Bilis
Ikan bilis adalah satu bahan ramuan yang senang didapati di mana-mana sahaja dan biasanya digunakan untuk membuat stok sup. Lebih-lebih lagi, rasa umami uniknya juga boleh menjadikanya sambal lebih sedap. Ikan bilis penuh dengan asid lemak dan Vitamin D; ini memberikan rasa sedap yang walaupun tidak setanding rasa pedas sambal, anda masih boleh merasai kelainannya.
Terdapat dua cara biasa untuk menikmati resipi sambal ikan bilis yang mudah ini; dimakan begitu saja atau ditumis dengan kacang tanah. Kedua-duanya sedap dalam cara tersendiri:
Bahan Ramuan:
- 50g ikan bilis, dikopek dan dibasuh
- 8-10 cili kering
- 3 ulas bawang putih
- 3 bawang merah kecil
- ½ biji bawang merah besar
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu besar gula Melaka
- 1 sudu kecil asam jawa
- Minyak masak untuk goreng ikan bilis
- Air
Cara Penyediaan:
- Sediakan pes sambal dengan mengisar cili, bawang putih, bawang merah besar serta bawang merah kecil. Setelah siap, ketepikan.
- Goreng ikan bilis dalam kuali yang mengandungi minyak panas. Ambil keluar setelah garing dan bertukar menjadi perang keemasan.
- Dalam kuali yang sama, tumis pes sambal dan tambah secukup air untuk reneh.
- Setelah pes sambal menjadi pekat, masukkan ikan bilis yang digoreng, asam jawa, garam dan gula.
- Biarkan ia mereneh sebentar di bawah api kecil. Setelah siap, hidangkan.
Cara Buat Sambal Oelek
Satu lagi resipi yang berasal dari Indonesia, sambal oelek mempunyai rasa yang pedas dan sedikit masam dengan penambahan cuka dalam campuran tersebut. Halianya juga memberikan aroma yang sedap kepada pes sambal. Ia boleh digunakan sebagai bahan perasa dan juga sebagai salah satu bahan ramuan dalam masakan.
Seperti kebanyakan sambal, ia mampu bertahan selama tiga bulan di dalam peti sejuk beku. Masukkan dalam balang kaca atau bekas dan tutup rapat dengan filem pelekat. Untuk mencairbekukan, anda boleh memanaskannya di dalam periuk atau masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro selama tiga hingga lima minit.
Bahan Ramuan:
- 5 cili padi, dihiris dan dibuang biji
- 2 sudu besar cuka beras
- Gula dan garam secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Masukkan semua bahan ramuan dalam pemproses makanan dan kisar sehingga menjadi pes. Jika anda lebih suka cara asli, gunakan lesung batu.
- Tapis cecair berlebihan dengan penapis mesh.
- Hidangkan dengan segera.
Tambah Keenakan Hidangan Dengan Resipi-Resipi Sambal Ini
Cinta kami semua terhadap sambal bukanlah sesuatu yang rahsia lagi. Ia sering menjadi bahan perasa wajib sama ada untuk sarapan pagi atau makan malam. Pedas, manis, dan sedap, ia adalah gabungan rasa yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia dalam hidangan seharian. Sekiranya anda mahu mempelajari cara buat sambal, bolehlah simpan senarai resipi sambal ini untuk rujukan masa depan!
Apakah makanan istimewa lain yang sinonim dengan Malaysia seperti sambal? Sudah tentu, durian! Tetapi adakah anda tahu bagaimana untuk membezakan jenisnya dan yang paling penting, cara untuk memilih durian? Kami akan menunjukkan caranya dan banyak lagi dalam panduan lengkap ini.