Program Penulis Inspirasi Za'ba: Pena Celik, Pena Cilik ialah program kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyahut seruan melahirkan sejuta pendeta Za'ba moden. Karya-karya dalam buku ini diinspirasikan daripada ketokohan pendeta Za'ba. Usaha ini merupakan satu inovasi untuk menginterpretasikan kecendekiawan tokoh dari negeri sembilan itu dalam bentuk karya kreatif dan non-kreatif. Program Penulis Inspirasi Za'ba: Pena Celik, Pena Cilik telah menghasilkan tiga buah buku - Di Sini Kami Bermula, Hadiah Paling Manis, dan Kalam Dijulang, Maruah Disangga. Kalam Dijulang, Maruah Disangga ialah himpunan esei yang dihasilkan oleh guru-guru dan murid-murid terpilih. Terdapat 25 esei guru yang disumbangkan oleh 24 orang guru dan tujuh esei murid-murid yang dihasilkan oleh tujuh orang murid. Esei-esei yang dihasilkan mengangkat pelbagai isu semasa secara kritis dan berani, sama seperti yang dilakukan oleh pendeta Za'ba. Perlbagai isu disinggung mereka - agama, bahasa, ekonomi, budaya, pendidikan, akhlak dan lain-lain - ditulis dari perspektif guru dan murid. Pandangan dan pemikiran mereka yang kritis dan kreatif itu menampakkan kepekaan dan keprihatinan mereka terhadap isu-isu semasa, dan semua ini wajar diselami dan dihadamkan.